Friday, June 06, 2008

GUIT (Growing Up In Trengganu)



Saya sudah memasukkan Growing Up in Terengganu (atau ejaan pada buku: Trengganu) sebagai buku mesti beli tahun ini.

Seperti tahun-tahun lepas, saya memang akan menambah koleksi 'buku mesti beli, tapi tidak terbeli'. Alasan paling kukuh adalah judul-judul tersebut tiada di Malaysia atau sangat sukar untuk ditemui di sini.

Antaranya siri Bumi Manusia Pramoedya dan koleksi Catatan di Pinggir Goenawan. Tajuk-tajuk ini kalau ada pun di Malaysia adalah edisi terjemahan (ke Inggeris), tetapi nafsu saya tidak tertarik dengan terjemahan Indonesia-Inggeris. Tulisan asal kaya dengan nilai-nilai Indonesia, dan kalau diterjemah, sedikit sebanyak mengubah atau menghilangkan nilai-nilai itu.

Growing Up in Trengganu pernah jadi 'buku mesti beli, tapi tidak terbeli' yang berbeza. Pertama, ia tidak sesukar naskhah-naskhah di atas untuk ditemui. Kedua, ia bukan terjemahan. Ia memang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Jadi kenapa ia 'mesti dibeli, tapi tidak terbeli'?

Saudara boleh katakan bahawa alasan nombor satu saya untuk tidak berminat membaca (apa lagi membeli) buku ini pada awalnya adalah kerana prejudis.

Ia ditulis oleh Awang Goneng! Bukan, saya tidak prejudis pada nama klasik Melayu tetapi saya prejudis kepada identiti merakyat yang dirasakan wujud bersama nama seklasik itu.

Saya ada pengalaman kecewa dengan penulis-penulis yang menggunakan identiti yang sangat merendah diri, tetapi tulisan-tulisan mereka sangat terasing daripada masyarakat. Mereka menulis tentang kekecewaan dan mimpi-mimpi mereka, tetapi menggambarkan seolah-olah semua itu mewakili keseluruhan rakyat.

Yang menyakitkan, tulisan-tulisan ini dianggap sebagai suara masyarakat, dikaji dan diteliti.

Jadi saya fikir, kenapa tidak Awang Goneng? Apatah lagi dia ini Melayu (oh, stigma biasa pada Melayu, seperti kata Tun: Melayu mudah lupa), tinggal di London berpuluh-puluh tahun dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Satu lagi naskhah pra-matang tetapi diangkat dan dilambung kerana ia berbeza.

Maafkan saya, saya ini memang pesimis orangnya.

Fikiran saya mula berubah apabila bertemu dengan Awang Goneng pertama kali di KLCC. Firdaus (Studio Madani) menegur beliau dan respons beliau sangat spontan. 5 minit tidak cukup untuk mengenali manusia, tetapi saya fikir dia tidak seteruk yang saya sangka.

Apatah lagi saya berjumpa sewaktu beliau dalam perjalanan ke surau.

Tidak lama selepas itu saya jumpa lagi beliau berkali-kali. Antaranya di majlis baca karya dan kemudiannya di UIA. Bicara beliau teratur dan Inggerisnya baik sekali. Paling penting loghat British itu memang buat saya seronok.

Apa boleh tiba-tiba sahaja saya akhiri tulisan ini dengan mengatakan "... and the rest is history"? ;)

p/s: oh, kan terlalu biasa dalam ulasan buku semuanya ditulis. Ini cuma konsep baru. Pengalaman peribadi (tidaklah begitu terperinci, kata saudara) diolah supaya jadi semacam 'teaser'.

"Yo o o lah Din. Ko malas nak tulis," kalau seorang teman saya baca ini, tentu itu spontan keluar daripada mulutnya :)

Jawab saya: ha ha ha. Memang rakyat Malaysia ini tidak tahu bersyukur :p